fbpx

Sindiket penjagaan diri tiruan RM15 tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairi (dua kanan) menunjukkn produk penjagaan diri tiruan yang dirampas pihaknya. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

SHAH ALAM – Satu sindiket penjualan barangan penjagaan diri tiruan serendah RM15 yang aktif sejak enam bulan lalu tumpas menerusi serbuan stor mereka di Taman Botanik, Klang dekat sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari, Isnin lalu itu merampas 37,930 unit produk seperti losen badan, semburan badan dan minyak wangi dianggarkan RM500,000.

Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dalam serbuan disertai wakil Cap Dagang.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian KPDN Selangor, Mohd. Khairi Jamaludin berkata, pihaknya terpaksa memecahkan kunci pagar dan rumah teres dua tingkat yang dijadikan stor itu susulan ketiadaan penghuni ketika kejadian.

Katanya, kesemua barangan tiruan itu disimpan dalam kotak-kotak coklat.

“Hasil pemeriksaan juga menjumpai beberapa dokumen transaksi urus niaga dengan mempercayai produk itu diimport dari negara luar.

“Sindiket kemudiannya akan melakukan proses pembungkusan dengan menggunakan jenama terkenal,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, modus operandi sindiket dipercayai secara hibrid iaitu penjualan secara fizikal dan dalam talian termasuk pengiklanan dalam laman dagang terkenal.

Tambah Mohd. Khairi, setiap produk itu seperti minyak wangi dijual pada kadar RM15 berbanding harga barangan asli mencecah RM80.

“Malah mereka dikatakan menjual sehingga serendah RM7 bagi dua produk unit penjagaan diri untuk promosi jualan.

“Sindiket juga akan menggunakan alamat pengirim yang pelbagai dan palsu bagi mengaburi pihak berkuasa semasa penghantaran produk yang dipesan pelanggan,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan dalang sindiket terlibat selain pemilik premis untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2021.

Dalam pada itu, Mohd. Khairi memaklumkan sebanyak 65 kes berkaitan cap dagang diperolehi tahun lalu dengan melibatkan rampasan RM900,000.

“Manakala nilai denda adalah berjumlah RM150,000 dan kompaun RM70,000.

“Sepanjang tahun ini sehingga Mei pula melibatkan 25 kes atas kesalahan sama dengan nilai rampasan RM2 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI