ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu beliau sudah membayar ganti rugi kes saman fitnah kepada pihak Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Mahfuz Omar.
Beliau pada masa sama menafikan mempunyai kaitan dengan kegiatan mengutip derma kononnya untuk membantunya menjelaskan bayaran tersebut.
“Saya bayar (ganti rugi) dah. Saya tak kenal siapa dia dan tidak terbabit dengan kegiatan (kutip derma) itu, mungkin dia simpati dengan saya,” katanya secara berseloroh pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman, di sini semalam.
Terdahulu, satu video tular di aplikasi TikTok memaparkan seorang individu memegang satu bekas bertulis ‘tabung Sanusi bayar saman fitnah’.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab, video kutipan derma kononnya bagi menampung kos bayaran saman itu adalah satu pembohongan dan cubaan jahat untuk memburukkan imej Muhammad Sanusi serta Perikatan Nasional.
“Kami akan membuat laporan polis dalam masa terdekat dan berharap pihak bertanggungjawab menyiasat seterusnya mengambil tindakan tegas kepada individu yang cuba memburukkan imej Menteri Besar Kedah,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan Mahfuz menuntut Muhammad Sanusi menyelesaikan bayaran ganti rugi kes saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan dengan segera.
Menurut Mahfuz, beliau akan berbincang dengan peguamnya dalam masa terdekat untuk tindakan bersesuaian termasuk memfailkan notis kebankrapan atau menyita aset Menteri Besar Kedah itu jika bayaran masih tidak dibuat.
Muhammad Sanusi kemudian memaklumkan pihaknya telah menyerahkan wang kepada peguamnya untuk urusan pembayaran selain menyifatkan tindakan Pengerusi PH negeri memainkan isu itu semata-mata mahu menumpang popularitinya.
Pada 9 Oktober 2019, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama mengaitkan beliau dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.
Pada 3 April lalu, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah yang dalam kes tersebut selain Mahfuz memohon untuk menaikkan saman tersebut daripada RM50,000 kepada RM120,000. – KOSMO! ONLINE