fbpx

Reman pengasuh kasari dua bayi akan disambung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tempoh reman ke atas seorang pengasuh berhubung kes dera dua bayi di sebuah taska di Mutiara Rini, Skudai, Johor Bahru akan disambung bagi membolehkan siasatan.

JOHOR BAHRU – Tempoh reman ke atas seorang pengasuh yang didakwa mengasari dua bayi di Mutiara Rini, Skudai di sini akan disambung memandangkan akan tamat esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, permohonan reman itu akan dibuat bagi membolehkan pihaknya melengkapkan kertas siasatan terhadap suspek berusia 21 tahun itu.

“Kita akan sambung reman memandangkan reman akan tamat masa terdekat (esok). Siasatan masih lagi dijalankan dan kita akan lengkapkan kertas siasatan untuk dapatkan beberapa bukti lagi.

“Apabila selesai siasatan termasuk laporan perubatan (terima), kita akan bawa kertas siasatan ke pihak pendakwa raya untuk mendapatkan nasihat lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Dewan Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, IPK Johor di sini, hari ini.

Berangkat ke majlis itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan dua anakandanya, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Pada masa sama, ketika ditanya mengenai dakwaan video dera yang tersebar di media sosial itu adalah video lama, beliau berkata polis masih mengkaji video berkenaan.

“Pasal itu (video lama), kita akan siasat dulu dan akan kaji bila video (kejadian) itu. Lihat pada penyebarannya macam benda baharu. Bagaimanapun, kita akan teliti lagi,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada laporan polis baharu dibuat oleh mana-mana ibu bapa berhubung kes dera sama ada membabitkan suspek yang sama atau sebaliknya.

“Buat masa ini tiada (laporan polis baharu), tetapi akhir-akhir ini kita dapati memang ada beberapa kejadian (dera) yang berlaku, tetapi yang ada laporan polis, kita sudah siasat,” jelasnya.

Isnin lalu, tular di media sosial dua video berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi.

Pengasuh taska swasta yang ditahan kira-kira pukul 2 pagi Selasa lalu kemudian ditahan reman empat hari sehingga hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI