SUNGAI PETANI – Peniaga di Taman Ria Jaya di sini, berdepan masalah longkang tersumbat sehingga menyebabkan air melimpah ke kawasan premis perniagaan yang terletak bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ria Jaya.
Rata-rata peniaga mendakwa longkang di kawasan itu tidak diselenggara dengan baik sejak lebih enam bulan lalu.
Keadaan itu menyebabkan pengaliran air longkang tersekat seterusnya air melimpah ke kawasan premis berdekatan setiap kali hujan lebat.
Peniaga kedai makan, Mohamad Nasaruddin Bakar, 50, berkata, longkang utama sepanjang kira-kira 600 meter itu kerap tersumbat kerana dipenuhi sampah sarap.
“Bagi mengelakkan air melimpah terutama ketika hujan lebat, ada peniaga yang mengambil inisiatif membersihkan sendiri longkang di belakang premis masing-masing.
“Jika tidak, kami juga yang kerugian kerana tidak boleh berniaga seterusnya hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, peniaga, Hashimah Hassan, 48, memberitahu, longkang tersebut merupakan laluan utama air termasuk dari taman perumahan berdekatan.
“Kami sudah membuat aduan kepada pihak berwajib beberapa kali sebelum ini agar laksana segera proses penyelenggaraan, namun sehingga kini tiada tindakan diambil,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga, Hamid Jan, 52, berkata, musim kemarau yang melanda Kedah ketika ini merupakan masa sesuai untuk membersihkan longkang di kawasan berkenaan.
“Kami (peniaga) akan turut sama membantu pihak berkuasa jika mereka datang membersihkan longkang dan berjanji akan menjaga kebersihan.
“Langkah ini perlu kerana sampah yang dibiarkan dalam longkang mengeluarkan bau busuk dan mengganggu pelanggan menjamu selera,” katanya.