fbpx

Polis gempur pusat hiburan di P. Pinang, 66 individu dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis menyerbu tiga buah pusat hiburan dalam operasi khas di Pulau Pinang awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menahan 66 individu termasuk 17 warga asing dalam operasi khas pusat hiburan di kawasan Timur Laut dan Bukit Mertajam dekat sini hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, operasi khas itu melibatkan tiga premis hiburan iaitu dua di daerah Timur Laut dan satu di Seberang Perai Tengah.

“Dalam operasi ini, seramai 124 orang telah ditahan dan diperiksa. Daripada jumlah itu, seramai 66 orang iaitu 40 lelaki termasuk seorang warga asing dan 26 wanita termasuk 16 wanita warga asing telah ditahan selepas ujian saringan air kencing positif pelbagai jenis dadah.

“Dalam operasi khas ini juga, polis telah berjaya merampas dadah jenis MDMA seberat 275 gram bernilai RM3,200. Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong pula memberitahu, polis menahan dua lelaki warga tempatan kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah dalam serbuan di pusat hiburan di pusat bandar George Town hari ini.

“Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi ini, polis turut menahan dua lelaki warga asing serta lapan wanita warga asing atas kesalahan melanggar syarat pas lawatan dan tiada dokumen perjalanan yang sah. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI