DUNGUN – Cuaca panas yang melanda pada masa ini menyebabkan tanaman cili dan terung yang diusahakan seorang petani terbantut dan banyak mengalami kerosakan.
Mohd. Nor Besar, 45, berkata, setakat ini, kerugian dialaminya sudah hampir mencecah RM40,000.
Menurutnya yang mengusahakan tanaman fertigasi berkata, lebih 1,000 pokok cili dan 500 pokok terung di kebunnya seluas lebih satu hektar kurang menjadi akibat faktor cuaca panas.
“Keadaan bahang panas ini menyebabkan banyak pokok cili dan terung saya mati dan tidak membesar dengan baik.
“Hasilnya juga bantut berbanding saiz normal menyebabkan sukar dipasarkan,” katanya ketika ditemui di kebun sayurnya di Kampung Durian Mentangau di sini semalam.
Katanya, cuaca panas juga menyebabkan hanya 20 peratus hasil pertaniannya dapat dituai berbanding lebih enam tan cili dan tiga tan terung dalam tempoh kitaran tiga bulan sebelum ini.
Dia yang sudah menceburi bidang pertanian sejak 18 tahun lalu memberitahu, bahang panas pada masa ini juga telah meningkatkan risiko serangan serangga pada tanaman.
“Lebih memburukkan keadaan, air dari telaga tiub yang disalirkan ke kawasan kebun saya untuk siraman bertukar berasid dan masam kerana berdekatan dengan paya.
“Saya terpaksa merawat air semula kerana banyak pokok yang sudah mati akibat tidak tahan dengan asid air tersebut,” katanya.
Katanya, dia amat risau kerana cuaca panas disebabkan fenomena El Nina ini dijangka bakal berlarutan sehingga bulan Oktober depan.
“Peniaga pasar di sekitar daerah ini dan Kemaman sudah mula menolak terung dan cili diusahakan saya kerana saiz tidak menetapi kehendak pasaran.
“Saya terpaksa menawarkan hasil pertanian kepada peniaga kedai makan dengan harga murah bagi mengelak kerugian lebih besar,” katanya.