INSIDEN kanak-kanak lelaki berusia enam tahun memandu kereta Toyota Vios sebelum terlibat kemalangan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi baru-baru ini sangat mengejutkan masyarakat.
Sememangnya sukar dipercayai bagaimana seorang anak kecil mampu mengendalikan sebuah kereta dan memandunya sejauh kira-kira 2.5 kilometer (km) sebelum terbabas dan melanggar lampu jalan.
Rata-rata pengguna jalan raya yang berhenti untuk membantu tergamam apabila mendapati pemandu kereta tersebut adalah budak enam tahun yang turut membawa bersama adik lelaki berusia tiga tahun.
Apabila ditanya, mereka hanya beritahu mahu ke kedai untuk membeli kereta mainan.
Dua beradik itu bernasib baik apabila si abang hanya mengalami luka kecil pada dagu, manakala
adiknya tidak cedera.
Selepas kejadian itu, ramai yang berfikir logik dan tertanya-tanya bagaimana kanak-kanak seawal usia itu mengetahui cara mengendalikan kereta sehingga dikaitkan dengan unsur mistik.
Ini susulan dakwaan kanak-kanak itu bahawa yang memandu adalah individu lain dikenali Tok Wan badan berbulu.
Bagi Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, pihaknya menolak sebarang unsur mistik dan memaklumkan budak itu mengetahui fungsi gear dan pedal minyak.
Beliau memaklumkan kanak-kanak itu juga boleh mahir menghidupkan enjin kereta dan menurunkan brek tangan.
“Bagaimanapun, berdasarkan kamera papan pemuka kereta, pemanduan kanak-kanak terbabit tidak stabil,” katanya.
Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati kanak-kanak terbabit belajar mengendalikan kereta menerusi video di YouTube selain mengamati cara pemanduan bapa.
Sementara itu, Pensyarah Kanan (Bimbingan & Kaunseling) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah berkata, kanak-kanak pada masa kini lebih terkedepan kerana mempunyai akses kepada maklumat di internet.
“Tingkah laku kanak-kanak ini antaranya adalah daripada pembelajaran secara meniru yang mana mereka mudah terikut-ikut.
“Jadi, orang dewasa terutama ibu bapa perlu berwaspada daripada setiap tindakan,” katanya.
Menurutnya, kanak-kanak akan cepat meniru jika mempunyai minat dan keinginan yang tinggi kepada sesuatu perkara.
“Minatnya itu kemudian dikukuhkan dengan maklumat yang diperoleh dari internet seterusnya meniru perbuatan tersebut tanpa sedar kesan dan akibatnya,” ujarnya.
Kata beliau, setiap perbuatan termasuk mengendalikan kereta boleh dipelajari dan dibentuk sehingga mencapai kecekapan tertentu bergantung kepada peringkat perkembangan kanak-kanak.
Justeru, beliau menasihatkan semua ibu bapa agar prihatin dengan perkembangan dan kecenderungan anak masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Peranan ibu bapa untuk memantau kelakuan, tingkah laku dan perkembangan anak sangat penting.
“Sebagai contoh, mereka perlu difahamkan bahawa sesuatu yang dilakukan dalam permainan atau perkara
yang tidak sepatutnya dilakukan pada usia kanak-kanak adalah berbeza daripada realiti.
“Kanak-kanak ini mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi selain teruja untuk mempelajari dan mencuba sesuatu yang baharu. Ia adalah keutamaan bagi mereka, jadi mereka memerlukan panduan,” katanya.