LE MANS, Perancis – Juara MotoGP 2020, Joan Mir mengakui bimbang dia bakal menjadi pelumba Honda seterusnya yang gagal mengecapi kejayaan seperti Jorge Lorenzo dan Pol Espargaro.
Lorenzo dan Espargaro menyertai pasukan Repsol Honda sejak beberapa tahun lalu dan mengakhiri karier bersama pasukan dengan keputusan yang agak mengecewakan bersama pasukan Jepun tersebut.
Espargaro yang menyertai Honda selama dua musim pada 2021 dan 2022 hanya meraih satu podium iaitu tempat ketiga di Qatar pada tahun lepas, manakala Lorenzo bersara selepas menyertai pasukan tersebut hanya semusim pada 2019.
Perpindahan Mir dari Suzuki ke Honda tidak seindah yang disangka apabila pelumba Sepanyol itu gagal menamatkan perlumbaan tiga kali berturut-turut sekali gus memberi tekanan untuk mendapatkan tunggangan terbaik.
“Memang benar anda perlu memberi tumpuan kepada semua perkara. Menyertai Honda lebih daripada fizikal dan juga mental.
“Secara mental ia memusnahkan anda, kerana anda perlu menjadi yang terbaik dan sentiasa berjuang dengan jentera kelompok hadapan.
“Anda juga tidak boleh terlalu mencuba kerana akhirnya akan memakan diri sendiri. Apa yang boleh saya katakan adalah jentera ini agak sukar dan berbeza. Saya tidak pernah alami pengalaman seperti ini.
“Sudah tentu saya takut untuk menjadi pelumba seterusnya yang berada dalam senarai kegagalan. Impian saya adalah untuk melakar kemenangan.
“Motivasi saya adalah untuk menang, naik podium dan kekal di hadapan.
“Keputusan ini adalah pembakar semangat saya yang sudah lama tidak saya miliki. Saya perlukannya semangat itu semula,” ujarnya. – AGENSI