KONTINJEN Malaysia melanggar tradisi apabila tidak melakukan sesi ‘bedah siasat’ ke atas kegagalan Sukan SEA Kemboja 2023 di lokasi rasmi temasya sebaliknya mengadakan sidang khas di Kuala Lumpur esok.
Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Mohd. Nasir Ali mengakui keputusan itu dibuat kerana Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan di tanah air.
Kata Mohd. Nasir, sesi wrap up (penutup) Sukan SEA termasuk butiran perincian mengenai prestasi kontinjen Malaysia hanya diumumkan oleh Hannah.
“Disebabkan Hannah tidak dapat hadir kerana urusan dalam negara, kita akan buat sesi penutup bersama media di Kuala Lumpur Jumaat ini. Kita akan berikan butiran terperinci mengenai prestasi keseluruhan Malaysia.
“Segala pencerahan lanjut akan diumumkan oleh Hannah dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
“Saya harap perkara ini tidak akan jadi isu besar (sidang akhbar penutupan temasya di negara penganjur). Apa yang penting, peminat sukan tanah air akan dapat maklum balas lanjut pada Jumaat ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Ramai beranggapan pencapaian kem negara pada temasya sukan dwitahunan berprestij Asia Tenggara ini sebagai yang terburuk dalam sejarah selepas menamatkan saingan di tangga ketujuh keseluruhan.
Malaysia hanya mampu meraih 34 pingat emas 45 perak dan 97 gangsa berbanding sasaran 40 emas, 37 perak dan 64 gangsa yang ditelah ditetapkan sebelum ini.
Situasi tersebut jauh lebih buruk berbanding edisi 2021 di Vietnam dengan menamatkan saingan di tangga keenam keseluruhan apabila mengutip 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.
Lebih mengecewakan apabila Malaysia dengan 676 atlet secara keseluruhan masih berada di bawah seteru tradisi, Singapura yang cemerlang berada di kedudukan kelima keseluruhan selepas mengutip 51 emas kali ini.