PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia kekal mengulangi komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap Deklarasi Kod Tatalaku (DOC) dalam masalah pertikaian di Laut China Selatan.
Perkara itu ditegaskan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin pada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN-China mengenai DOC di Vietnam semalam.
Wisma Putra menerusi hantaran dalam laman sosial rasminya berkata, beliau mengetuai delegasi negara ke mesyuarat edisi ke-20 yang berlangsung di Ha Long, utara negara itu.
“Malaysia malahan mengalu-alukan komitmen kesemua negara ASEAN dan China ke arah pelaksanaan berterusan DOC serta rundingan kod tatalaku (COC) di laut ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Wisma Putra menambah, komitmen Malaysia terus dibuktikan apabila konsisten menyokong pelaksanaan penuh dan berkesan COC secara keseluruhannya.
“Amran pada mesyuarat itu juga menekankan bahawa kestabilan serantau adalah amat penting dan menyeru semua negara bekerjasama mengekalkan keamanan,” katanya.
Langkah tersebut ujarnya, demi memastikan situasi tegang di Laut China Selatan akan terus kekal sebagai perairan yang selamat, aman dan stabil kepada aktiviti perdagangan.
Perkara itu turut disentuh ketika pertemuan Amran dengan Liang apabila kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai usaha promosi berterusan pelaksanaan DOC. – KOSMO! ONLINE