KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengalami kerugian berjumlah RM58,800 selepas menjadi mangsa skim pelaburan mata wang kripto pada penghujung April lalu
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pembantu projek berusia 37 tahun itu pada awalnya berkenalan dengan suspek di aplikasi aplikasi Telegram lalu tidak melayannya, penghujung April lalu.
Katanya, mangsa mula berkomunikasi semula dengan individu tersebut dan telah berminat dengan pelaburan yang ditawarkan iaitu Bitfine.
“Pada awalnya mangsa telah menerima pulangan sebanyak RM543 sekali gus membuatkan dirinya yakin dengan pelaburan BitFine ini.
“Hasil siasatan mendapati mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat sejak 27 April sehingga 8 Mei sebanyak lapan kali transaksi ke dalam lima jenis akaun bank yang berbeza berjumlah RM58,800,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Sukarno, kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa terperdaya.
“Sebarang pertanyaan berkaitan, orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997,” katanya. – KOSMO! ONLINE