PETALING JAYA – Beberapa pengguna media sosial mengutuk tindakan segelintir individu yang sanggup menggadai barangan mereka semata-mata untuk membeli tiket konsert siri jelajah kumpulan rock popular dari Britain, Coldplay dengan harga mencecah RM3,000.
Antara barangan yang dijual atau digadai adalah emas, telefon bimbit, motosikal, perabot rumah dan lain-lain.
Terdahulu, tular seorang lelaki sanggup mengambil keputusan untuk menjual peti ais dan motosikalnya demi membeli tiket konsert Coldplay berharga RM3,338.
Lebih dasyat, lelaki yang dikenali dengan nama Danar itu memaklumkan bahawa dirinya ada membuat pinjaman peribadi, namun gagal sebelum tekad menjual barangan peribadinya.
Dalam pada itu, dengan pengorbanan drastik dilakukan peminat kumpulan rock tersebut, ada yang meluahkan rasa kurang senang apabila untuk mengejar keseronokan, rakyat Malaysia sanggup berhabis wang sehingga rela menggadai apa yang ada.
Namun, kata mereka, dalam perbelanjaan untuk membeli makanan dan keperluan hidup, rakyat Malaysia dilihat lebih suka mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan.