fbpx

Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan awal naik taraf Jalan Raya Timur Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALEXANDER (tiga dari kiri) meninjau lokasi Selekoh Tyson Jalan Teluk Intan-Bagan Datuk, yang dilaporkan sebagai laluan maut kerana sering berlaku kemalangan maut.

TELUK INTAN – Kementerian Kerja Raya memberi peruntukan awal RM30 juta bagi menaik taraf Jalan Raya Timur Barat sepanjang 123 kilometer (km) yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan itu dikeluarkan bagi menaik taraf jalan raya berusia lebih 40 tahun itu di laluan bahagian Perak.

“Selain itu, sebanyak RM7.44 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan di laluan tersebut.

“Kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan kerja berkala penurapan sedang giat dilaksanakan secara berperingkat,” katanya kepada pemberita dalam lawatan kerja meninjau ‘Selekoh Tyson’, Batak Rabit, di laluan Teluk Intan-Bagan Datuk di sini hari ini.

Isu keadaan jalan raya yang tidak rata, berlubang dan kurang penyelenggaraan di jalan raya tersebut khususnya di laluan bahagian Perak serta kerap berlaku kemalangan, sering diluahkan pengguna jalan raya tersebut di media sosial.

Berikutan itu, Kerajaan Perak membuat permohonan peruntukan RM80 juta kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun lalu, untuk menaik taraf jalan raya yang menghubungkan kawasan utara Semenanjung dengan Pantai Timur Semenanjung itu.

Menurut Alexander, kementerian itu sentiasa peka dengan isu yang dibangkitkan pengguna jalan raya dan kerajaan negeri berkenaan laluan tersebut yang telah uzur, yang mula dibina pada 1970 dan dibuka secara rasmi pada 1982.

Beliau menjelaskan kementerian itu akan berusaha memberi kerjasama dan perkhidmatan terbaik dalam menyediakan kemudahan infrastruktur selamat dan selesa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI