MEKAH – Tabung Haji (TH) akan menggunakan beberapa rangkaian bagi memastikan kelancaran proses berkaitan teknologi maklumat (IT) buat lebih 31,600 bakal jemaah haji Malaysia terutama ketika berdepan kesesakan talian pada waktu puncak.
Pengarah Operasi Teknologi Maklumat Musim Haji 1444H, Shahidan Ishak berkata, cabaran utama berkaitan IT ialah kestabilan rangkaian sistem yang digunakan ketika di operasi masyair (kemuncak) di beberapa kawasan seperti Mina, Muzdalifah dan Arafah.
Katanya, bagi menangani masalah itu, pihaknya akan menggunakan beberapa rangkaian yang mana ia akan menyuraikan kesesakan trafik online terutama ketika kesemua jemaah menggunakan aplikasi utama iaitu Thjari, hajj mobiliti dan e-bimbingan secara serentak.
“Pertambahan jemaah sudah pasti akan membuatkan rangkaian tidak stabil dan penggunaan beberapa talian akan menyelesaikan masalah itu. Operasi di sini ditumpukan di bangunan ibu pejabat Abraj Janadriah, hospital dan rangkaian TH.
“Bakal jemaah haji dinasihatkan supaya memuat turun dua aplikasi itu ketika berada di tanah air lagi bagi elak timbulnya masalah ketika sudah berada di Tanah Suci,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Jelasnya, pasukan IT TH yang diselenggara oleh 21 petugas termasuk empat petugas TH daripada syarikat bersekutu, Theta Edge berperanan memastikan rangkaian sistem dan masalah berkaitan perkakasan komputer dapat diatasi dengan pantas.
Tambahnya, warga emas yang mempunyai masalah berkaitan IT boleh meminta ahli keluarga memuat turun aplikasi tersebut di Malaysia dan mereka akan dibantu sekiranya berdepan masalah menggunakan aplikasi itu di Tanah Suci.
“Aplikasi yang mula digunakan tahun lalu itu telah ditambah baik berdasarkan maklum balas jemaah haji bagi memastikan keberkesanan operasi haji,” katanya.
Ujar Shahidan, pasukannya yang dijadualkan pulang pada 2 Ogos depan selepas tiba pada 12 Mei lalu akan bekerja sepanjang tempoh musim haji tanpa henti.
“Operasi IT di sini amat kritikal bagi mendukung kelancaran operasi dan penggunaan data dan rangkaian oleh semua petugas di bahagian lain seperti masyair, maktab, perubatan dan sebagainya.
“Persediaan IT setakat ini sudah mencapai 50 peratus kerana ada beberapa bangunan yang masih belum boleh diakses,” katanya.
Setakat semalam, seramai 176 daripada keseluruhan 670 petugas TH telah tiba di Mekah dan Madinah bagi membuat persediaan awal musim haji. -KOSMO! ONLINE