SEBERANG PERAI – “Ibu adalah pendorong terhebat yang membentuk siapa diri saya hari ini,” kata Bekas Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Union, Loh Yat Cheng selepas dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Negeri Pulau 2023.
Beliau yang berusia 62 tahun itu berkata, mendiang ibunya, Loo Ngan Eng sememangnya menekankan betapa pentingnya pendidikan sejak kecil lagi.
“Walaupun ibu tidak berpeluang ke sekolah, dia tahu ilmu amat penting dan setiap kali dia mengambil upah mencuci baju, saya perlu berada di depannya untuk mengulang kaji pelajaran mahupun membaca.
“Ibu jatuh sakit 18 tahun lalu malah sebelum meninggal dunia, dia menasihati saya supaya tidak perlu risaukannya malah teruskan tugas seperti biasa dalam mendidik anak murid sebaiknya.
“Anugerah yang diterima selepas 36 tahun bergelar pendidik ini saya dedikasikan khas buat mendiang ibu yang menjadi idola saya buat selamanya,” katanya selepas menerima anugerah berkenaan di Program Wacana Ilmu Apresiasi Pendidikan di Bertam Resort, di sini hari ini.
Sementara itu, Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri, Norhassim Mahat, 62, pula memberitahu, pengalaman bergelar pendidik selama 38 tahun banyak memberikan pengalaman pahit dan manis yang takkan dilupakan sampai bila-bila.
Menurutnya, guru generasi baharu kini berdepan dengan cabaran yang lebih hebat namun beliau yakin sebarang rintangan dapat dihadapi dengan kesabaran yang tinggi.
“Guru muda yang baru menceburi bidang pendidikan memerlukan kesabaran dan ketabahan yang tinggi dalam mendidik anak-anak yang berbeza latar belakang dan tingkah laku.
“Paling penting, guru perlu banyak berkorban bukan sahaja daripada segi masa, tenaga dan wang ringgit bagi memastikan anak-anak ini berjaya.
“Selain guru formal yang mendidik di sekolah, ibu bapa juga guru informal yang membentuk sahsiah anak-anak di rumah dan kedua-duanya wajar sentiasa dihormati,” katanya.
Kedua-dua tokoh terbabit masing-masing menerima wang imbuhan RM2,500, plak penghargaan dan hadiah istimewa iaitu motosikal sumbangan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dan Co-opbank Pertama (CBP). Hadiah disampaikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow. – KOSMO! ONLINE