fbpx

Harga musang king jadi RM20 sekilogram dua minggu lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. HILMI menunjukkan buah durian premium di sebuah kebun di Balik Pulau semalam.

GEORGE TOWN – Para penggemar durian premium kini boleh menarik nafas lega selepas harga durian jenis duri hitam (black thorn) dan musang king dijangka turun hingga RM20 sekilogram dalam masa seminggu dua ini.

Ini berikutan pengusaha kebun durian di Balik Pulau dekat sini dikatakan sepakat untuk berbuat demikian bagi memberi peluang kepada ‘kaki’ durian Balik Pulau merasai kenikmatan sebenar hasil buah keluaran tempatan itu tahun ini.

Harga semasa bagi duri hitam adalah RM90 sekilogram, musang king (RM65), kacang hijau (RM30), mas dan lipan pula RM33, manakala D604 dijual pada harga RM24.

Seorang pengusaha durian yang mahu dikenali sebagai Brian berkata, isu kenaikan harga durian oleh pelanggan sering dibangkitkan dalam mesyuarat bersama pemilik-pemilik dusun sebaik tiba musim durian pada setiap tahun.

Menurutnya, pada tahun ini, hasil perbincangan, ramai memutuskan untuk menurunkan harga bagi kesemua jenis durian, selain dijamin tidak berlaku sebarang kenaikan sehingga habis musim hujung tahun ini.

“Setiap kali mesyuarat, kami dapat banyak rungutan daripada pelanggan berhubung harga durian yang sentiasa naik dan tak pernah turun sejak pengusaha mengeksport buah itu ke China sejak 2018.

“Tahun ini, pengusaha durian sedaya upaya mahu turunkan harga durian bagi meringankan bebanan pengguna terutama penggemar durian.

“Saya yakin, kali ini semua orang dapat merasai durian Balik Pulau dan tidak teragak-agak untuk membelinya walau hanya sebiji bagi durian premium,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Ujarnya, tahun ini, harga pasaran durian duri hitam daripada peringkat pembekal adalah RM60 sekilogram, berbanding RM85 tahun lalu, musang king dari RM75 kini dijual RM60 seki­logram, manakala udang merah dan hor lor dijual RM28, penurunan hingga RM14.

Sementara itu, seorang peniaga durian, Mohd. Hilmi Che Rose, pula memberitahu, penurunan harga durian dijangka berlaku dalam tempoh tujuh hingga 10 hari lagi mulai minggu ini.

“Ini kerana, ketika itu banyak buah yang sudah luruh dan ada di pasaran. Buat masa ini, permintaan terhadap buah durian makin tinggi, tetapi buah pula yang tak banyak luruh lagi.

“Untuk permulaan, harga buah masih kekal seperti tahun lalu dan harga mungkin turun dalam masa tujuh hingga 10 hari lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Hilmi berkata, keputusan penurunan harga dibuat selepas pihaknya memahami keadaan ekonomi semasa ketika ini terutama dalam kalangan pengguna dan peminat durian tempatan.

“Ia dapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelanggan luar seperti dari Johor, Kuala Lumpur, Kedah dan Perak terutama pada hujung minggu.

“Pelanggan di Pulau Pinang masih kurang membeli durian mungkin kerana mereka me­nunggu gaji hujung bulan, selain banyak wang dikeluarkan semasa Aidilfitri,” katanya yang baru memulakan operasi perniagaan sejak lima hari lalu di Anjung Indah, Balik Pulau.

Jelasnya lagi, kira-kira 300 hingga 400 kilogram (kg) buah durian pelbagai jenis sudah laris dijual terutama hujung minggu, manakala hari biasa dianggarkan sebanyak 100 hingga 200kg.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI