PETALING JAYA – Penyanyi terkenal Datuk Sheila Majid berang apabila ada segelintir individu mata duitan yang menjual semula tiket konsert Coldplay dengan harga tidak masuk akal.
Kecewa dengan pihak yang menjual semula tiket dengan harga berpuluh kali ganda, pemilik nama penuh Shaheila Abdul Majid, 58, itu berpendapat tindakan sebegitu sebagai mengarut.
“Ini adalah perkara merepek dan tidak beretika.
“Jangan beli dengan mereka yang tidak bertanggungjawab!” katanya dalam satu hantaran Instagram semalam.
Penghibur yang popular menerusi lagu Sinaran itu juga bertegas, tidak akan sesekali membeli tiket dengan harga sebegitu walaupun mempunyai wang mencukupi.
“Gila! Tidak akan sesekali (beli tiket) walau saya mempunyai duit sekali pun.
“Ini adalah perkara bodoh dan lebih baik saya menonton konsert Coldplay di luar negara,” jelasnya.
Selaku orang lama dalam industri, Sheila juga menyarankan orang ramai memboikot mana-mana pihak yang menjual tiket dengan harga tidak masuk akal sebegitu.
“Lain kali kalau tidak serius nak pergi, jangan sibuk berebut beli tiket juga.
“Kalau hendak buat duit lebih sekalipun, bukan ini caranya sebab menutup peluang mereka yang betul-betul ingin pergi disebabkan wujud pihak mengambil kesempatan sebegini.
“Jangan beli dan biar tiket mereka tidak laku. Harga sebenar tempat duduk bahagian Cat 7 hanyalah RM228,” katanya lagi.
Dalam perkongsian tersebut, dia turut memuat naik beberapa tangkap layar pihak yang menjual tiket dengan harga melampau dalam media sosial.
Antaranya menjual tempat duduk kategori Cat 1 pada harga RM43,200 yang sepatutnya bernilai RM1,288 sahaja.
Sementara itu, tempat duduk Cat 7 yang asalnya bernilai RM287 pula dijual semula pada harga RM600 kepada orang ramai.
Hasil tinjauan Kosmo! Online, ramai pihak mengambil kesempatan menjual semula tiket dengan harga berlipat kali ganda dalam media sosial ketika ini.
Sejak tiket konsert Coldplay mula dijual pada 16 Mei lalu, ramai pihak menyuarakan ketidakpuashatian dengan sistem pembelian tiket oleh penganjur acara.
Pada bulan lalu, impian peminat tanah air melihat Coldplay beraksi di Malaysia akhirnya tercapai apabila mereka diumumkan bakal mengadakan konsert sulungnya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November depan. – KOSMO! ONLINE