fbpx

Fast X memang gila!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENJADI sekuel ke-10 francais Fast & Furious, Fast X tudak hanya tentang kelajuan bahkan segala nila sentimental yang ada dalam sebuah kehidupan.

GILA! Itu perkataan pertama yang keluar dari bibir usai menghabiskan tontonan filem yang memasuki pawagam tanah air bermula hari ini, Fast X.

Gila yang tidak tercapai dek akal, gila yang bernuansa positif, gila daripada sebuah filem yang bermula daripada kisah ‘kereta’, namun kini bercambah menjadi legasi pelbagai rasa, emosi dan pergolakan jiwa.

Penulis akan ‘pegang’ cermat jalan cerita kali ini kerana tidak mahu memberi sebarang spoiler kepada pemuja jenama berkenaan di luar sana.

Hanya ingin dinukilkan di sini bahawa Fast X barangkali akan jadi pengalaman sinematik paling star-studded (ramai bintang gred A) tahun ini. Senario tersebut tidak langsung membuatkan audiens kecewa.

Mengapa? Jawapanya kerana semua bintang yang berlakon dalam filem ini ditempatkan di posisi yang sesuai. Mereka tahu tugasan yang perlu dilunaskan.

Jalinan atau permainan karakter yang dijalinkan setiap setiap pelakon terlibat sangat tepat.

SELAIN memandu kereta dengan tangkas, Dominic (Vin Diesel) juga menyedari tanggungjawabnya melindungi orang sekeliling.

Barisan pelakon atau sekuel kali ini memang terbaik. Vin Diesel sebagai watak utama dan ikonik, Dominic Toretto cukup menyerlah.

Penulis sebenarnya kehabisan kata-kata tentang betapa beruntungnya generasi hari ini masih berpeluang mengenali pelakon itu.

Dia seorang aktor yang sangat luar biasa handalnya. Bukan sahaja handal memandu kereta sampai terbang, berdentam-dentum sini-sana, namun bijak bermain emosi dan gejolak jiwa audiens.

Kendatipun, ingin disimpulkan di sini betapa villain (watak jahat) bernama Dante Reyes permainan aktor Jason Momoa membawa Fast X ke posisi ‘next level’.

Secara peribadi, Momoa menjadi sebab mengapa Fast X berdiri sebagai filem aksi kereta paling bernuansa luar biasa tahun ini.

Lagak, lelucon, perangai ‘syaitan’ dan keberhasilan dirinya sebagai seteru baharu kepada Dominic Toretto dan orang-tersayang sosok itu sangat menjadi atau dalam istilah orang sekarang, chef’s kiss!

Ada babak awal bom besar menghancurkan bandar raya Rom, Itali. Itu sahaja sudah menderaskan adrenalin.

Kemudian, aksi kehebatan bertubi-tubi dicernakan sutradara Louis Leterrier dalam babak-babak selanjutnya.

Jason Momoa memainkan karakter jahat bernama Dante Reyes dengan penuh karisma dan keberkesanan.

Kereta terbang

Tak sempat berasa mengantuk dan terpaksa tahan kencing sebab enggan tertinggal waima sedetik adegan dalam filem. Itu perasaan yang dirasakan dan Fast X sememangnya layak diberikan perhatian sedemikian.

Bermula daripada kisah lumba kereta, kepada zaman ‘pemergian’ legenda Paul Walker dan kali ini, kereta bukan hanya tempatnya atas jalan raya bahkan, di kawasan salji, dalam air, terbang sini sana ‘melangit’.

Barangkali, inilah Wawasan 2020 yang sepatutnya dicapai pernah diucapkan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad. Kereta terbang!

Secara keseluruhannya, Fast X adalah sebuah pengalaman sinematik yang penonton tidak wajar lepaskan di panggung wayang.

Penuh aksi yang tidak pernah direkodkan di layar perak, permainan emosi yang buat mata ‘berkaca’, villain yang faham tugasan. Fast X, sungguh memberi dampak luar biasa!

Kalau ditanya berapa markah ingin diberikan buat filem kali ini. Jawapan penulis 10/10 atau 11/10. Memang berbaloi ‘bakar’ tiket. Post credit juga terus memancing perhatian.

JOHN Cena (kanan) sebagai Jakob Toretto membuatkan ramai ‘tertumpah’ air mata.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI