PETALING JAYA – “Ada yang cakap ‘driver’ tak ada pilihan untuk batalkan pesanan, kalau ‘driver’ batalkan pesanan akan kena potong duit, dalam perjalanan ke tempat lain, ada pelanggan lain”.
Demikian luahan seorang pengguna yang kurang senang dengan tindakan segelintir pemandu e-hailing yang suka meminta pelanggan membatalkan pesanan di saat-saat akhir dengan memberi pelbagai alasan.
Kongsi pemilik akaun Facebook, James Serabut, dia mendakwa sudah beberapa kali ditipu oleh kumpulan pemandu pemalas ini.
“Hantaran ini pengajaran kepada pemandu yang suka suruh pelanggan batalkan pesanan kerana perjalanan jauh.
“Dah banyak kali saya kena dengan pemandu e-hailing yang suruh pelanggan batalkan pesanan sebab tak mahu ‘rating’ dia jatuh.
“Saya tahu dia menipu tapi saya batalkan juga dan alasan pembatalan saya letak ‘driver asked to cancel’ (pemandu minta untuk dibatalkan),” katanya pada perkongsian di kumpulan Facebook, B40 Buat Perangai Apa Harini, pagi tadi.
Bercerita lanjut, menurut pengguna tersebut, pernah sekali dia melihat peta keberadaan pemandu e-hailing terbabit berada sekitar kawasannya, namun pada saat akhir, pemandu berkenaan meminta pelanggan itu membuat permohonan pembatalan.
“Tapi kali ini punya penipuan tak boleh brain (fikir) dah. Map (peta) tunjuk pemandu berada berdekatan, tapi dia cakap dia berada jauh dan ada pelanggan lain. Dia suruh saya batalkan, saya tak nak dan saya suruh dia batalkan sendiri, dia pun tak nak.
“Masing-masing duduk menunggu, selepas hampir 10 minit, saya mengalah dan saya batal. Kali ini tiada lagi maaf buat mu, terus e-mail dekat pihak syarikat e-hailing terbabit dan buat aduan ‘driver refuse to come and cheating’.
“Tolonglah kalau tak nak ambil trip, jangan menipu dan cakap benda yang betul dan cakap elok-elok dengan pelanggan,” pesannya. – KOSMO! ONLINE