KUALA SELANGOR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sedia berdepan sekali lagi dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya mereka bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.
Amirudin yang juga penyandang kerusi DUN tersebut memaklumkan mengulangi prestasinya selepas menewaskan Mohamed Azmin yang merupakan bekas Menteri Besar Selangor di Parlimen Gombak semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum ini.
“Tak tahu kalau dia hendak pergi ke Sungai Tua tiba-tiba dari Bukit Antarabangsa.
“Dari bukit turun ke sungai, saya tidak pasti itu strategi dia, kita tak pernah bertemu (untuk tujuan tersebut) berbincang apatah lagi merancang.
“Terpulang kepada strategi masing-masing dan kita kena bersedia di segenap situasi serta keadaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan projek Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM), hari ini.
Pada PRU15, Amirudin menang dengan majoriti sebanyak 12,729 bagi kerusi Parlimen Gombak dalam pertembungan lima penjuru termasuk melibatkan Mohamed Azmin dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Amirudin bagaimanapun memaklumkan menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan sama ada dicalonkan semula sebagai Menteri Besar Selangor pada pasca PRN nanti.
“Kalau tanya secara peribadi, selaku ahli parti, kita kena patuh dengan beberapa strategi dan perancangan yang bukan keputusan saya sendiri.
“Kalau tanya pendirian, saya ‘prefer’ untuk kekal, tetapi pasti parti dan pimpinan akan membuat keputusan dan boleh mengadakan perbincangan demi kebaikan semua,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE