KUALA LUMPUR – Pusat beli-belah terkemuka negara, Mid Valley ditutup sementara sehingga satu tempoh yang akan diberitahu kelak.
Menerusi kenyataan pihak pengurusan Mid Valley City di akaun Facebooknya, pihaknya mengesahkan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden kebakaran itu setakat pukul 11.38 pagi.
“Pihak pengurusan Mid Valley City ingin mengesahkan bahawa satu kejadian berlaku di premis kami awal pagi tadi.
“Kebakaran berlaku di sebuah pencawang luar sebelum api dikawal oleh Pasukan Tindakan Kecemasan. Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tiba di tempat kejadian pada pukul 10.42 pagi.
“Anggota Bomba masih di tempat kejadian menjalankan semua siasatan yang diperlukan dan mengawal premis daripada sebarang gangguan operasi pusat membeli-belah,” katanya.
Tambahnya, dalam mengutamakan keselamatan semua yang hadir, gangguan sementara kepada bekalan kuasa akan dilaksanakan sehingga pihak berkuasa membenarkan pemulihannya.
“Mid Valley City akan ditutup sehingga diberitahu kelak. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan ingin menegaskan bahawa keselamatan pembeli dan tetamu tetap menjadi keutamaan kami,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE