fbpx

Maritim kejar 20 minit, rampas 4.27 juta rokok seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISKANDAR (tengah) menunjukkan rokok keretek yang dirampas pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi, Melaka. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

ALOR GAJAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 4.27 juta batang rokok keretek yang dianggarkan bernilai RM2.95 juta di Tanjung Sepat, Selangor, Isnin lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, pasukan telah mengesan sebuah bot pancung dari negara jiran bergerak di laluan Traffic Separation Scheme (TSS) menuju ke Tanjung Sepat kira-kira pukul 11.30 malam, pada Ahad.

Menurut beliau, aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Murni/ Op Tiris telah diatur gerak ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai pergerakan mencurigakan itu.

“Bot yang dinaiki tiga suspek dipercayai warga asing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa dan berlaku kejar-mengejar selama 20 minit sebelum ia dapat dipintas.

“Setelah bot dihimpit rapat ke kawasan bakau, suspek bertindak memecut laju dan berjaya meloloskan diri kira-kira pukul 1.30 pagi, pemeriksaan ke atas bot menemukan 400 kotak bersaiz besar yang ditutup dengan plastik dan guni disyaki mengandungi rokok seludup,” katanya pada sidang akhbar rampasan rokok seludup di Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Tambah Iskandar, jumlah keseluruhan rampasan rokok keretek pelbagai jenama termasuk sebuah bot dan enam enjin 200 kuasa kuda jenis Yamaha itu dianggarkan bernilai RM3.15 juta.

Mengulas lanjut beliau berkata, modus operandi kumpulan itu adalah melakukan kegiatan pada waktu malam tanpa mengira keadaan air pasang atau surut.

“Rokok keretek ini dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang, saya yakin kes terbaharu ini ada kaitan dengan rampasan 4.8 juta rokok seludup pada bulan lepas di perairan muara Tanjung Gabang dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana menyeludup masuk rokok ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan atau duti eksais,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI