SHAH ALAM – “Kalau saya membantah pun, mereka akan tetap pergi ke Konsert Coldplay dan tiket pun sudah habis terjual.”
Demikian respons pendakwah bebas Pencetus Ummah (PU) Amin, 33, berhubung isu bantahan penganjuran konsert kumpulan ternama, Coldplay yang bakal mengadakan persembahan sulung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 22 November depan.
Katanya, walaupun bantahan dilakukan oleh golongan agamawan, masyarakat akan tetap dengan pendirian dan minat masing-masing.
“Manusia memilih, kalau mereka nak pergi ke sana (konsert Coldplay) dipersilakan.
“Kalau bantah sekalipun, apa yang saya dapat? Apa perubahan kepada masyarakat sebab semuanya masih sama dan mereka tetap pergi,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang akhbar Festival Havoc Islamik, di sini, hari ini.
Sebagai pendakwah bebas, dia juga menyarankan agar penganjur acara tempatan mengadakan program alternatif lain seperti konsert keagamaan yang mampu menyebarkan dakwah kepada masyarakat.
“Daripada kita mengecam, lebih baik buat program alternatif.
“Bila kita cakap jangan pergi dan tiada ada konsert, jadi apa alternatif yang kita tawarkan?
“Sebab itu kita anjurkan majlis selawat ada juga nyanyian, gema, ada juga irama tetapi ada batasan,” jelasnya.
Katanya, cara tersebut inisiatif tersebut dilihat sebagai cara halus membantah penganjuran konsert-konsert melibatkan selebriti luar negara.
“Kita membantah bukan dengan vokal, kita membantah dengan menyediakan alternatif dan perkara itu merupakan satu bentuk bantahan.
“Jadi kita sokong alternatif lebih mendidik jiwa dan kebudayaan. Contoh ketika Blackpink datang Malaysia, Raihan juga mengadakan konsert dan itu cara mereka membantah,” katanya lagi.
Pemilik nama penuh Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim itu juga berpendapat, sikap lantang bersuara mengecam beberapa selebriti tanah air yang dilakukannya sebelum ini juga dilihat tidak memberikan sebarang impak kepada perjalanan dakwahnya.
“Dulu saya bersifat begitu, buat bantahan kepada nama besar sehingga orang cakap nak tumpang populariti.
“Dari segi publisiti kita dapat tetapi kesan kepada masyarakat tak dapat.
“Pengikut memang naik namun daripada aspek hala tuju dakwah memang tidak menjadilah,” jelasnya lagi.
Sejak beberapa hari lalu, konsert Coldplay di Malaysia menjadi bahan bualan hangat apabila segelintir golongan pendakwah menolak kehadiran kumpulan tersebut ke tanah air.
Bagi mereka, kehadiran Coldplay membawa unsur negatif seperti sokongan kepada golongan LGBT. – KOSMO! ONLINE