BEIJING – Sebuah kapal nelayan China karam di tengah Lautan Hindi, lapor media tempatan, dengan 17 kru warganegara tersebut, 17 dari Indonesia dan lima kelasi Filipina masih hilang.
“Setakat ini, kami masih belum menemui seorang pun mangsa yang hilang,” kata stesen penyiaran China, CCTV sambil menambah, Presiden Xi Jinping mengarahkan operasi mencari dan menyelamat dilakukan.
Kapal bernama Lu Peng Yuan Yu 028 dan dimiliki oleh syarikat Penglai Jinglu Fishery Co, karam kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan) semalam, lapor CCTV.
Pasukan mencari dan menyelamat dari sekitar rantau itu telah tiba di lokasi kejadian manakala Beijing turut menghantar dua kapalnya untuk membantu dalam operasi berkenaan.
“Kementerian Luar China melancarkan ‘mekanisme kecemasan untuk perlindungan konsular’ yang melibatkan kedutaan-kedutaan dan konsulat di Australia, Sri Lanka, Maldives, Indonesia, Filipina dan beberapa negara lain,” lapor CCTV. – AFP