PUTRAJAYA – Jemaah Menteri hari ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh dan bersepadu selain memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di negara ini.
“Jemaah Menteri menegaskan bahawa kerajaan menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri- negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari lalu yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Anwar memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang
mengandungi kalimah Allah.
Dalam hal ini, ujarnya, Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.
“Kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh
diamalkan dengan aman dan damai,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Keputusan KDN menarik balik rayuan itu adalah melibatkan isu perundangan sivil dan pentadbiran iaitu berkaitan rampasan bahan penerbitan dan bukannya membabitkan isu penggunaan kalimah Allah. – KOSMO! ONLINE