fbpx

Jangan seronok sangat kongsi gambar di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZURAINI MOHD KHALID
WARTAWAN EKSEKUTIF

MEDIA sosial menjadi medium paling pantas dalam menyebarkan maklumat dan juga menjadi medium pilihan untuk dilayari secara kerap.

Facebook, Instagram dan TikTok misalnya menjadi medium yang dilayari jutaan pengguna setiap hari, bagi tujuan berkongsi tentang kehidupan sendiri dan juga melihat atau menilai kehidupan orang lain.

Biarpun ramai yang sedar bahawa tindakan terlalu seronok berkongsi maklumat peribadi di media sosial boleh mengundang padah, namun masih ramai yang teruja mempertontonkan aktiviti harian kepada umum atas pelbagai sebab tertentu.

Menurut Ketua Pegawai Ka­wal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Zulkarnain Mohd. Yasin, tindakan berkongsi maklumat sedemikian sebenarnya boleh menyebabkan kita menjadi sasaran golongan scammer atau penjenayah siber.

“Ramai antara kita yang kerap memuat naik pelbagai maklumat tentang kehidupan di media sosial.

“Antaranya seperti memuat naik foto rumah yang didiami, kenderaan yang dipandu dan juga gambar barangan yang dimiliki seperti tas tangan dan sebagainya.

“Tindakan sebegini sebenar­nya boleh mengundang padah dan boleh menyebabkan diri kita menjadi sasaran oleh golongan scammer,” katanya.

Tambah Zulkarnain, terdapat pelbagai cara bagi golongan penjenayah siber ini dalam memperoleh maklumat peribadi kita antaranya termasuk menerusi kaedah data mining atau pelombongan data.

Pelombongan data merujuk kepada tindakan ‘mengorek’ atau mendapatkan maklumat berpandukan data utama yang diperoleh, yang kemudiannya dicuri, ditiru atau digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Biarpun tidak berkongsi secara jelas maklumat peribadi seperti nombor telefon atau nombor kad pengenalan pada apa-apa dokumen yang dimuat naik di media sosial, namun tindakan berkongsi walau hanya gambar rumah, kereta dan juga harta benda yang dimiliki itu tadi boleh meletakkan kita dalam posisi bahaya.

“Adakalanya, kita akan berkongsi gambar atau mempertontonkan kepada orang ramai gambar rumah atau gambar barang-barang kepunyaan kita di media sosial atas tujuan suka-suka.

“Seterusnya, akaun media sosial pula tidak ditetapkan kepada ciri privasi dan menjadi tontonan umum dan daripada situlah, berlakunya data mining itu,” ujarnya.

Zulkarnain juga menjelaskan bahawa data peribadi kita tidaklah begitu mudah untuk diperoleh begitu sahaja.

“Ada yang mendakwa maklumat peribadi seseorang itu mudah diperoleh melalui media sosial dan sistem perbankan online.

“Bagi saya, ia tidaklah mudah sebenarnya kerana semuanya bergantung kepada pengguna itu sendiri.

“Ia menjadi mudah sekiranya kita sendiri yang mendedahkan beberapa maklumat dan juga apabila peranti kita telah digodam.

“Pendek kata, ada cara yang menjadikan ia mudah, justeru ia bergantung kepada tindakan kita sendiri,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI