JOHOR BAHRU – Hasrat seorang peniaga mengembangkan bisnes yang diusahakannya lebur apabila terjerat sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud.
Malah mangsa yang juga lelaki warga tempatan berusia 28 tahun kerugian RM58,880 ekoran tertipu dengan helah sindiket berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa mula terpedaya selepas menerima satu pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki menawarkan skim pinjaman wang mudah dan cepat.
Menurutnya, mangsa disyaki minat dengan tawaran itu lalu dan berhasrat ingin membuat pinjaman sebanyak RM70,000.
“Mangsa kemudiannya diminta berhubung dengan seorang lelaki lain dan suspek memberitahu mangsa perlu membuat pendahuluan kerana skor kelayakan untuk membuat pinjaman kurang memuaskan.
“Mangsa tanpa berfikir panjang lalu membuat lapan transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berlainan sehingga RM56,880,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, setelah melakukan pemindahan itu, status permohonan pinjaman yang dilakukan mangsa masih belum diluluskan sebelum lelaki berkenaan mula curiga.
Katanya, sindiket terus meminta mangsa memindahkan wang bagi meningkatkan ‘credit scoring’.
Ujarnya, susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di sini semalam.
Beliau berkata, polis telah membuat kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Pihak polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang mudah dan cepat dalam talian,” katanya .- KOSMO! ONLINE