fbpx

Erdogan diramal kekal berkuasa di Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyokong Erdogan memegang poster bertulis ‘Kami sayangkan anda, ketua’ di luar ibu pejabat Parti AK selepas undian ditutup di Ankara, kelmarin. - AFP

ANKARA – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan disifatkan mempunyai ‘aura kebal’ selepas ‘kemenangan’ mengejutkan dalam pilihan raya Turkiye kelmarin, sekali gus meletakkan beliau pada landasan yang kukuh untuk melanjutkan rekod sebagai pemimpin paling lama berkhidmat di negara itu.

Kiraan undian terakhir yang dilakukan menunjukkan Erdogan mengalahkan pencabar utamanya, Kemal Kilicdaroglu, dengan mendapat 49.5 peratus undian.

Kilicdaroglu dalam pada itu menerima 44.9 peratus undian selain calon nasionalis, Sinan Ogan hanya mendapat 5.2 peratus.

Disebabkan kedua-dua Erdogan dan Kilicdaroglu gagal mendapatkan 50 peratus undian, pusingan kedua undian akan berlangsung pada 28 Mei ini bagi menentukan pemenang sekali gus menjadi Presiden Turkiye.

“Satu kemenangan yang mengejutkan buat Erdogan.

“Beliau memiliki ‘keajaiban’ pada waktu-waktu begini. Beliau berjaya menyatukan rakyat Turkiye sama ada nasionalis, sosialis atau konservatif,” kata Pakar Ekonomi Pasaran Baharu Muncul, Timothy Ash.

Kebanyakan penganalisis percaya bahawa Kilicdaroglu dan pakatan pembangkang enam partinya berdepan kesukaran untuk menghentikan momentum Erdogan sebelum pusingan kedua nanti.

Sementara itu, penganalisis daripada firma rundingan Eurasia Group, Emre Peker meramalkan kemenangan Erdogan pada kadar 80 peratus.

“Keputusan pilihan raya (kelmarin) menunjukkan Erdogan dan sekutu-sekutunya berjaya mengukuhkan sokongan rakyat dengan mesej jelas mengenai keganasan, keselamatan dan nilai-nilai kekeluargaan meskipun keadaan ekonomi terus menjadi kebimbangan utama pengundi,” ujarnya.

Erdogan, 69, sebelum ini berjaya mengatasi pelbagai kesukaran termasuk protes besar-besaran dan cubaan rampasan kuasa berdarah pada 2016 untuk muncul sebagai pemimpin yang penting dalam beberapa generasi.

Namun, pilihan raya kali ini ternyata memberi cabaran hebat kepada beliau seperti pakatan beberapa parti pembangkang, yang diburukkan lagi dengan krisis ekonomi serta kemarahan rakyat ketika gempa bumi kuat melanda Februari lalu.

Meskipun pembangkang meletakkan harapan tinggi untuk menewaskan Erdogan kelmarin, sasaran itu ternyata gagal direalisasikan. Ia sekali gus meletakkan beliau pada kedudukan utama untuk melanjutkan tempoh pemerintahan selama dua dekad untuk sekali lagi sehingga Mei 2028.

Dalam pada itu, seorang penyokong Erdogan, Hamdi Kurumahmut, 40, berkata, dia meletakkan keyakinan kukuh dalam pilihan raya kelmarin yang disifatkan paling penting dalam sejarah moden Turkiye.

“Erdogan akan menang. Beliau merupakan pemimpin sebenar. Rakyat Turkiye percaya kepadanya dan beliau mempunyai visi untuk negara ini.

“Tidak dapat dinafikan bahawa beberapa perubahan perlu dilakukan terhadap ekonomi, pendidikan dan dasar pelarian. Namun, kami tahu Erdogan ialah orang yang mampu menyelesaikan semua masalah itu,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI