fbpx

Dua lelaki ditahan bersama ketulan mampat ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dadah yang dirampas pihak polis di Ipoh, Perak semalam.

IPOH – Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis ganja bernilai lebih RM25,000 menerusi serbuan berasingan di dua buah rumah di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Sungai Rokam pada pukul 12.15 tengah malam itu membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 39 tahun.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menemui sejumlah ketulan mampat dan peket berisi dadah disyaki ganja dengan anggaran berat 7,433 gram.

“Turut dijumpai anak benih dipercayai pokok ganja dan 90 mililiter cecair dadah sama selain peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM25,547.

“Susulan tangkapan tersebut, pihak polis telah melakukan serbuan susulan di sebuah rumah di Taman Sri Rokam dan memberkas seorang lelaki berusia 52 tahun dalam serbuan pada pukul 1.15 pagi semalam, kita telah menemui ketulan mampat dipercayai ganja seberat 40 gram yang dianggarkan bernilai RM400,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, berdasarkan semakan, kedua-dua suspek yang positif dadah jenis THC itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau bagaimanapun siasatan mendapati, mereka aktif mengedar dadah sejak 2021 serta diedarkan untuk pasaran tempatan.

Tambah beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita tiga buah kenderaan, lapan utas jam tangan, seutas rantai, dua bentuk gelang dan wang tunai sebanyak RM150,000.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah dan harta yang disita berjumlah RM724,729, manakala kedua-dua suspek direman tujuh hari mulai hari ini (semalam) sehingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI