fbpx

Awang Sariyan dinobat Tokoh Guru Suluh Budiman UPSI 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Awang (dua dari kiri) memegang replika cek Anugerah Tokoh Guru Suluh Budiman yang diserahkan kepadanya oleh Tuanku Zara (tengah) di UPSI, Tanjung Malim, Perak hari ini.

TANJUNG MALIM – Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Awang Sariyan dinobatkan sebagai Tokoh Guru Suluh Budiman Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2023 hari ini.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan anugerah tersebut di Majlis Sambutan Hari Raya dan Sambutan Hari Guru UPSI di Dewan Tuanku Canselor, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di sini.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor pernah menyandang Kursi Za’ba di UPSI, serta penyandang Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di Beijing selain menjadi Professor tamu di beberapa universiti terkemuka antarabangsa.

Sepanjang kerjayanya juga beliau telah menerbitkan 70 buah buku ilimiah, buku umum, buku teks serta buku himpunan puisi dan menerbitkan lebih dari 500 makalah dalam jurnal, majalah dan surat khabar serta lebih 200 kertas kerja selain syarahan disampaikan di seluruh pelosok dunia.

Awang menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM5,000, selempang tokoh serta sijil iringan.

“Alhamdulillah, syukur atas nikmat dan rahmat Allah. Terima kasih Naib Canselor UPSI, Datuk Prof. Dr. Md. Amin Md. Taff dan seluruh pimpinan dan warga UPSI,” katanya di sini hari ini.

Tuanku Zara yang juga Canselor UPSI turut berkenan mencemar duli lafaz pelancaran serta menganugerahkan kurniaan Anugerah Guru kepada 23 orang tokoh penerima hadiah tersebut yang diungguli oleh Awang.

Sementara itu, Md. Amin berkata, majlis yang dianjurkan setiap tahun tersebut merupakan salah satu inisiatif untuk menghargai jasa serta pengorbanan guru menabur bakti mendidik bangsa tanpa jemu.

“Jika ditelusuri sejarah tanah Muallim, di sini lahirnya insan termulia yang bergelar guru.

“UPSI telah melahirkan legasi pendidikan di seluruh negara, bermula dari zaman Sultan Idris Training College (SITC) sehingga terukirnya nama-nama tokoh guru yang hebat Pendeta Za’ba, Aminuddin Baki, Tun Rahman Abbas, Ibrahim Yaakub, Tun Abdul Ghafar Baba dan ramai lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI