TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkul empat pingat emas dan empat pingat perak di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Suriani Abu Bakar berkata, UPSI mempamerkan inovasi dan teknologi terkini dalam pelbagai bidang profesional terutamanya pendidikan yang meliputi pendidikan awal kanak-kanak sehingga peringkat pengajian tinggi.
Selain sains sosial, katanya, UPSI juga mengetengahkan inovasi nano teknologi dan bioteknologi pada ITEX kali ini.
“Empat pingat emas yang diraih UPSI adalah inovasi yang dibangunkan oleh barisan penyelidik iaitu Multi Branch School Management System oleh Prof. Madya Dr. Ashardi Abas dari Fakulti Komputeran dan Meta-teknologi dan MechaRoboKidz 2.0 oleh Dr. Romarzila Omar dari Fakulti Pembangunan Manusia.
“Modul Interaktif Realiti Maya Apresiasi Muzik Sekolah Menengah (e-MARZ) oleh Dr. Abdul Rahman Safian dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan serta penyelidikan EasySeni: Borderless Hybrid Learning Module oleh Lee Hoi Yeh dari Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, katanya, empat pingat perak yang diraih adalah inovasi Problem Solving Oriented E-Module in Learning Audio Video Techniques via Facebook (PSOMODULE) oleh Dr. Noor Hidayah Che Lah(FKMT) dan Biogenic Nano Hydroxyapatite for Tooth Paste oleh Prof. Ts. Dr. Ismail Zainol.
Dua lagi pingat perak, katanya, disumbangkan menerusi TAKTIK oleh Prof. Madya Dr. Mazlini Adnan dan DNA-based Marker for Identification of Herbal Plants for Product Authentication oleh Dr. Azi Azeyanty Jamaludin dari Fakulti Sains dan Matematik.
“Projek MechaRoboKidz 2.0 antara inovasi yang mendapat sambutan menggalakkan di ITEX berikutan ia berbentuk modul pemikiran robotik dan pemikiran komputasional yang menggunakan teknologi dalam pembelajaran kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun di prasekolah, tadika dan taska.
“Produk ini menggunakan ‘3D printed’ bagi menghasilkan robot yang menarik seperti jongkang-jongket, kereta sorong kanak-kanak, kincir angin, lastik, kereta kebal dan sebagainya,” katanya.
Bahkan, ujarnya, setiap robot berperanan untuk membolehkan kanak-kanak menguasai kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seperti daya, alam fizikal, kemahiran proses sains serta teknologi,” katanya.
Selain UPSI, ITEX 2023 yang dilancarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang itu menghimpunkan pempamer dari 17 negara untuk mempamerkan lebih 700 produk dan teknologi inovatif. – KOSMO! ONLINE