PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 47 orang pengarah syarikat terlibat penyelewengan dan ketirisan dana tuntutan palsu menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana) dalam Op Hire 2.0.
Kesemua yang ditahan berusia antara 30 hingga 70 tahun telah mengemukakan tuntutan yang kononnya telah mengendalikan program pengambilan dan latihan pekerja kepada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) namun ianya tidak dilaksanakan sebagaimana tuntutan.
Kesemua tangkapan terdiri daripada 14 wanita dan 33 lelaki dilakukan SPRM sejak petang semalam akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di seluruh negara pada hari ini, untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Menurut sumber, jumlah tuntutan yang terlibat adalah antara RM450,000 hingga RM2 juta.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Dalam Op Hire 1.0 sebelum ini seramai 74 orang daripada 60 syarikat telah ditahan dengan melibatkan tuntutan palsu bernilai RM88 juta dengan 52 orang telah didakwa di Mahkamah.
Menurutnya, tindakan tegas SPRM ini adalah bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan yang dilihat sebagai isu yang serius.
Ujarnya, pihaknya telah mengenalpasti ratusan syarikat lain yang telah membuat tuntutan palsu ini dan akan meneruskan operasi ini bagi menahan semua yang terlibat.
Justeru, Ahmad Khusairi menggesa mana-mana syarikat yang terlibat untuk tampil secara sukarela menyerahkan semula tuntutan yang telah dibuat bagi mengelakkan pertuduhan di Mahkamah.
“Kita telah kenalpasti nama dan senarai pemilik syarikat yang terlibat. Bagi tujuan mendapatkan semula kesemua tuntutan palsu terbabit, saya memberi amaran kepada semua untuk tampil segera sebelum SPRM mengetuk pintu pejabat syarikat-syarikat terlibat.
“Saya memberi jaminan bahawa sesiapa yang terlibat untuk tampil secara sukarela dan menyerahkan semula tuntutan-tuntutan yang telah dibuat, tidak akan dipertuduh di Mahkamah. Bagi mereka yang masih berdegil maka mereka akan dikenakan tindakan yang lebih serius,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE