KETUA jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Muhamad Amin Rahim mengharapkan ‘kekuatan mental’ barisan pemain dapat menghadiahkan kilauan pingat emas menjelang aksi final pada Sukan SEA Kemboja 2023 hari ini.
Skuad Speedy Tigers dijadualkan berdepan Singapura dalam perlawanan akhir di Padang Hoki, Morodok Techo hari ini selepas masing-masing mengungguli kelompok dua teratas dalam pusingan round robin yang berakhir kelmarin.
Amaran yang diberikan oleh Muhamad Amin cukup penting selepas pasukan negara kelihatan sering hilang fokus selepas mendahului hingga membolehkan lawan mendapatkan gol dalam beberapa perlawanan lepas.
“Semua gol lawan berlaku akibat pemain hilang fokus, apabila sudah mendahului ada rasa sudah menang dan boleh tarik nafas lega. Ini Sukan SEA, kita tidak boleh ada rasa begitu.
“Pemain perlu fokus sepenuhnya dalam 60 minit permainan tidak kira sedang mendahului 10-0 atau 20-0, selagi belum wisel penamat kita perlu fokus. Kita kena kekal berdisiplin mengikut arahan dan perancangan.
“Singapura tetap pasukan yang berpengalaman dan beberapa kali beraksi di pentas final bersama Malaysia. Kemenangan ke atas Thailand membuktikan mereka antara pasukan yang ada kualiti.
“Kami akan bermain mati-matian dan saya yakin sekiranya pemain kekal fokus serta mengikut perancangan yang diatur, saya tidak nampak mengapa kami tidak boleh pulang ke Malaysia dengan kalungan pingat emas,” katanya.
Pertembungan Malaysia dan Singapura esok juga boleh dianggap sebagai ulangan final Sukan SEA Singapura 2015 yang menyaksikan Speedy Tigers menang 4-3 menerusi penalti shoot-out selepas terikat 2-2.
Kem hoki kebangsaan sebelum ini menerima episod duka selepas skuad hoki dalam dewan lelaki negara tewas 1-2 menerusi shoot-out kepada Indonesia dalam penentuan pingat emas.