fbpx

Raja Sepak Takraw Asia meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALLAHYARHAM ADNAN SAIDIN

ALOR SETAR – Legenda sukan sepak takraw tanah air, Adnan Saidin yang juga raja libas me­ninggal dunia di Hospital Sulta­nah Bahiyah (HSB) pada usia 66 tahun pukul 6 pagi semalam.

Menurut anaknya, Mohd. Faizal, 38, bapanya dimasukkan ke pusat perubatan tersebut kira-kira seminggu lalu setelah kelihatan lemah dan tidak bermaya.

“Pada mulanya pihak hospital mengesyaki beliau menghidap tibi sebelum pemeriksaan turut dijalankan pada jantung, paru-paru dan hati.

“Selepas beberapa hari, bapa tidak sedarkan diri dan apabila pemeriksaan dijalankan, didapati ada pendarahan di kepala,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohd. Faizal berkata, dia me­nerima panggilan telefon daripada doktor memaklumkan kematian bapanya sejurus selesai menunaikan solat subuh di HSB.

Menurut Mohd. Faizal yang juga bekas pemain sepak takraw negara dan kini berkhidmat sebagai anggota polis berkata, jenazah bapanya akan disemadikan di Kampung Padang, Lebuh Raya Sultan Abdul Halim, di sini.

Berita pemergian Allahyarham Adnan dimaklumkan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir.

Adnan yang dilahirkan di Kampung Padang, Tandop, dekat sini, mula berjinak-jinak dengan sukan itu sejak berusia lapan tahun dengan bermain sepak takraw pada setiap petang.

Perjuangannya selama hampir 20 tahun dalam sukan itu banyak meninggalkan kenangan manis kepadanya dan juga negara terutama ketika ketika berdepan musuh tradisi, Thailand pada aksi final Sukan SEA di Jakarta 1979.

Tidak ‘koyak’ dengan perang psikologi dilancarkan lawan, libasan ‘maut’ Adnan tepat ke dada apit kanan Thailand yang me­nyaksikan pemain itu tumbang akibat sesak nafas dan terpaksa diusung keluar gelanggang.

Kehebatannya dalam sukan itu membolehkannya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Asia 1984 dan digelar Raja Sepak Takraw Asia 1986.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI