fbpx

PVATM kesan 20 kubur tentera terkorban lawan komunis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAHARUDIN (tiga dari kiri) ketika menziarahi kubur Allahyarham Wahid Suratman pada program Jejak Pusara Pahlawan di Kampung Parit Haji Adenan, Pontian kelmarin.

PONTIAN – Persatuan Vete­ran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mengesan sebanyak 20 buah kubur anggota tentera yang terbunuh ketika menentang komunis di seluruh negara menerusi program Jejak Pusara Pahlawan (JPP) sejak dilancarkan pada 2019.

Presidennya, Kapten (B) Datuk Saharudin Omar berkata, pemeriksaan mendapati, keba­nyakan kubur itu tidak dijaga apabila batu nisan terkopek, kapok rosak dan kawasan sekeliling ditumbuhi rumput.

“Penduduk juga tidak tahu kubur menempatkan pahlawan yang berjuang menentang pengganas komunis disemadikan di kampung mereka.

“Beberapa pertempuran de­ngan pengganas komunis akan tetap diingati antaranya di Kampung Buntal Santubong, Sarawak dan Kalabakan, Sabah pada 1963 yang menyebabkan lapan anggota tentera terbunuh selain di Sungai Siput, Perak.

“Atas keberanian mereka, anggota tentera terbabit diberikan penganugerahan termasuk Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang merupakan antara pangkat tertinggi dalam darjah-darjah Gagah Perkasa,” katanya ketika di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Haji Adenan, di sini.

Kunjungan itu bagi menziarahi kubur Allahyarham Renjer Wahid Suratman yang maut pada 1976 ketika bertempur dengan pengganas komunis di Pos Poi, Sungai Siput, Perak. Jenazah lelaki itu disemadikan di kampung tersebut.

Sebelum itu, delegasi PVATM turut melawat kubur Allahyarham Lans Koperal Saimon Tarikat di Kampung Parit Rambai. Saimon merupakan penerima SP yang gugur ketika bertempur de­ngan komunis di Kampung Titi, Jelebu, Negeri Sembilan pada 1983.

Jelasnya, setiap kubur yang ditemui akan diletakkan tanda.

Tambah beliau, pihaknya akan mengadakan perbincangan de­ngan pihak berkuasa tempatan bagi mencari kaedah terbaik mengenai penjagaan kubur-kubur pahlawan tersebut untuk jangka masa panjang.

“Pihak kami juga sedang me­rancang untuk menjejaki kawasan pertempuran semasa Perang Dunia Pertama di Malaya seperti Battle of Jitra, Battle of Kampar, Battle of Slim River dan Battle of Muar sebelum kejatuhan Singapura ke tangan Tentera Jepun,” katanya.

Sementara itu, abang Allahyarham Renjer Wahid Suratman, Bohari Kaman bersyukur kerana ada pihak yang masih meng­ingati jasa adiknya yang terkorban pada 1976 di Perak.

“Ketika kejadian itu berlaku, arwah sudah bertunang dengan gadis pilihan dari Taiping, namun jodoh mereka tidak panjang selepas dia terbunuh kerana mempertahankan negara,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI