MARAN – Belum sempat meraikan sambutan Hari Guru, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Jengka 2 di sini dikejutkan dengan kebakaran yang berlaku di asrama sekolah berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.18 pagi itu, kebanyakan pelajar yang tinggal di asrama sedang bersiap untuk ke sekolah sebelum diarahkan turun ke kawasan lapang selepas kebakaran bermula dari sebuah bilik.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, bomba yang tiba di lokasi kejadian selepas menerima laporan mendapati kebakaran berpunca daripada sebuah almari pelajar.
“Dinding berdekatan dengan almari tersebut serta siling turut terjejas hampir lima peratus akibat kebakaran ini dan dapat dipadamkan oleh anggota bomba dengan menggunakan alat pemadam api.
“Operasi pemadaman ini melibatkan tujuh anggota daripada Balai Bomba Jengka yang bergegas ke tempat kejadian dengan dua buah jentera sejurus menerima panggilan kecemasan,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE