KUALA LUMPUR – Aktres meningkat naik, Sharifah Rose menyifatkan usia 20-an sebagai tempoh tepat untuk seseorang individu keluar mengembara, mencari minat dan seterusnya membina kerjaya masa depan.
Kata Rose atau nama lengkapnya Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd. Mazfira mengembara bukan sahaja melancong, sebaliknya membuka mata mengenal realiti agar tidak terus terperangkap dengan dunia media sosial sendiri.
“Saya rasa dalam usia 20-an adalah masa yang tepat untuk keluar mengembara, tak kiralah ke mana, dalam atau luar negara atau di mana sahaja.
“Saya nasihatkan kepada golongan remaja dan golongan muda-mudi berusia 20-an untuk keluar mengembara bukan hanya melancong sebaliknya cari ilmu dan lihat tempat orang dengan mata sendiri.
“Cari minat kerana apa jua yang kita lakukan, kena percaya bahawa kemahiran sentiasa boleh diasah,” katanya.
Selain memberi nasihat, Rose juga sempat meyakinkan remaja untuk mengejar impian dan menyimpan cita-cita untuk berjaya seperti insan-insan hebat.
“Kalau sewaktu kecil dahulu sebelum berjalan kita bertatih dahulu dan kemudian boleh berlari.
“Tidak mustahil kalau orang lain boleh buat, kita juga mampu lakukan apa jua yang kita minat,” katanya usai pelancaran sebuah majlis anugerah hiburan di ibu kota, semalam.
Menyedari pencapaian yang dilalui kini tidak datang bergolek, banyak perkara dilakukannya termasuk mencabar kemampuan sendiri.
“Dalam kes saya sendiri, saya tidak tahu boleh berlakon jika saya tidak mulakan suatu ketika dahulu.
“Apabila mula berlakon, saya suka melakukan perkara tersebut walaupun susah dan dihina, sama seperti membangunkan perniagaan sendiri,” jelasnya yang mengawali karier dunia hiburan sebagai model fesyen muslimah.
Selepas terkenal dalam drama Kekasih Hati Mr. Bodyguard, aktres jelita itu membangunkan perniagaan sendiri menjual produk tudung jenama sendiri iaitu Harirose. – KOSMO! ONLINE