PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lapan individu kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu yang mengandungi butir matan palsu membabitkan jumlah tuntutan kira-kira RM24 juta.
Majistret Irza Zulaikha membenarkan permohonan reman selama tiga hari terhadap enam suspek bermula hari ini, manakala dua lagi suspek direman empat hari selepas SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 70 tahun itu dipercayai ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya lewat petang semalam, ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan berhubung tuntutan palsu ke atas Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Latihan (Penjana).
“Syarikat-syarikat tersebut telah mengemukakan tuntutan palsu kepada Perkeso menerusi borang pengesahan pekerja yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM24 juta bagi memperoleh peruntukan di bawah Penjana untuk melaksanakan program latihan sedangkan program-program tersebut tidak dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE