PETALING JAYA – Pelakon Mawar Rashid kian mempelajari dan memahami erti sebenar seorang ibu setelah berkahwin dan memiliki dua orang anak tiri.
Mawar, 28, bersyukur kerana ketika awal perkahwinannya dengan suami iaitu Raf Yaakob, dia sudah diberikan nikmat untuk merasai pengalaman indah bergelar seorang ibu.
“Selamat hari ibu untuk saya. Ibu kepada lima orang anak. Tiga orang yang saya lahirkan dan dua orang yang rezeki Allah bagi daripada perkahwinan terdahulu suami.
“Rayyan dan Raysaa banyak bagi Mummy belajar untuk jadi seorang ibu. Dulu Mummy selalu tertanya adakah perasaan seorang ibu sebegini indah, perasaan bahagia dan sayang bersama anak,” katanya.
Dalam pada itu, aktres kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berkata, persoalan yang terdetik dalam hati mengenai perasaan sebagai seorang ibu itu lebih difahami selepas dia melahirkan anak sulungnya, Muhammad Rafeal.
“Selepas saya sudah melahirkan Rafeal barulah saya mendapat jawapan.
“Ya perasaan yang sama. Bahagia dan sayang serta sentiasa inginkan yang terbaik untuk anak-anak semua,” katanya.
Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid berkongsi perkara tersebut menerusi hantaran status dalam laman Instagram miliknya sempena Hari Ibu yang diraikan pada Ahad lalu.
Menjengah ruangan komen, suami Mawar, Raff Yaakob sempat meninggalkan ucapan manis buat isterinya tanda menghargai dan menyayangi permaisuri hatinya itu.
“Awak memang terbaik. Setiap hari adalah Hari Ibu buat awak. Saya tidak memerlukan satu hari istimewa untuk menjadi lebih sweet dan baik kepada awak. Saya akan lakukan itu setiap hari sehingga ke akhir hayat,” tulis Raff.
Mawar Rashid dan Raf mendirikan rumah tangga pada November 2017 dan pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad Rafeal, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2, dan Raden Seri Roseanna Camilya yang kini berusia empat bulan.
Selain itu, Mawar Rashid juga memiliki dua anak tiri, Raden Ahmad Rayyan dan Raden Seri Raysaa Chanela hasil perkahwinan Raf terdahulu. – KOSMO! ONLINE