SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengkaji semula kompaun yang rendah berhubung penyalahgunaan pili bomba.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ini berikutan jumlah kompaun RM100 hingga RM500 mengikut akta itu amat rendah dan telah lama tidak dikaji sejak 1988.
Katanya, ini bagi memastikan hukuman setimpal dan mesej jelas dapat disampaikan kepada orang ramai tidak sesekali mencuri air daripada pili bomba tanpa kebenaran pihak bomba.
“Ada orang pandang remeh dengan menyatakan RM100 sahaja dan mampu bayar.
“Jadi, kementerian telah mengambil keputusan bagi meningkatkan nilai kompaun termasuk didakwa di mahkamah pada masa akan datang,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) dan Sijil Anugerah Cemerlang kepada warga KPKT bagi tahun 2022 melibatkan 713 penerima.
Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff didakwa menyediakan penghantaran air percuma di kawasan Parlimen berkenaan dengan menyediakan lori tangki besar dan pam penyedut dengan mengambil air dari pili bomba sebelum dihantar ke kampung terjejas.
Bagaimanapun, Siti Zailah menafikan mencuri air dari pili bomba, sebaliknya mendakwa tindakannya mendapat kebenaran pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan JBPM Kelantan.
Bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dalam kenyataan pada 11 Mei lalu menyatakan telah mengenakan kompaun RM100 terhadap seorang kontraktor membabitkan isu tersebut.
Mengulas isu tersebut, Kor Ming menegaskan berdasarkan Seksyen 26 akta tersebut adalah hanya pelaku sahaja dikenakan kompaun.
Beliau turut menzahirkan simpati terhadap kontraktor tersebut namun mesej adalah jelas bahawa perbuatannya adalah salah.
“Dia (kontraktor) memang diupah untuk buat kerja dan saya bersimpati dengan kontraktor tersebut.
“Sehubungan itu, bagi kontraktor hendak bekerja perlu mengambil skop kerja yang halal dan bukan haram. Yang penting kerja ikut lunas undang-undang” katanya. -KOSMO!ONLINE