PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bakal mengubah waktu syif atau tempoh giliran bekerja petugasnya di dua pintu masuk utama di Johor Bahru, Johor mulai Ahad ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu antara usaha penambahbaikan bagi mengatasi kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.
“Waktu syif akan bertukar kepada 9 pagi hingga 6 petang, 4 petang hingga 12 tengah malam dan 12 tengah malam sehingga 9 pagi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang anjuran Jabatan Imigresen Malaysia 2022 dan sambutan Hari Raya Aidilfitri kelolaan agensi berkenaan.
Jelasnya, sebelum ini, giliran melibatkan keseluruhan 1,600 petugas JIM di BSI dan KSB ditetapkan dari 7 pagi hingga 6 petang, 3 petang hingga 11 malam dan 11 malam hingga 8 pagi.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, perubahan waktu itu tidak melibatkan pertukaran syif masa puncak dari pukul 4 pagi hingga 7 pagi dan 5 petang hingga 7.30 malam.
“Apa yang penting ialah aspek kebajikan pegawai JIM terpelihara kerana perubahan syif tidak begitu ketara kesan untuk mereka mengadaptasi waktu bekerja baharu,” ujarnya.
Katanya, sebagai langkah tambahan untuk mengatasi kesesakan di BSI dan KSAB, seramai 100 lagi pegawai baharu gred KP19 akan ditempatkan di dua pintu ini mulai Isnin depan.
Tambahnya, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur turut akan menerima tambahan 100 pegawai baharu yang tamat kursus Akademi Imigresen Malaysia. – KOSMO! ONLINE