fbpx

Isu kalimah Allah: JPM Hal Ehwal Agama berganding bahu bersama KDN atasi masalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Na'im

PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan untuk berganding bahu bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani isu penggunaan kalimah Allah dan lain-lain kalimah suci agama Islam.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, berkata pihaknya mengambil maklum pendirian KDN dalam menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari lalu yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Katanya, titah Sultan Johor dan Sultan Selangor juga sentiasa dijunjung untuk menjaga kemuliaan dan kesucian agama Islam termasuk penggunaan kalimah Allah.

“KDN diyakini akan meningkatkan pemantauan dan bertindak tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Orang ramai dinasihatkan agar bertenang dan mengambil sikap berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap isu ini kerana ia berkaitan isu teknikal perundangan dan mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen tidak berasas bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian beragama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan penggunaan kalimah Allah dan empat perkataan lain masih kekal eksklusif milik umat Islam, malah tidak boleh digunakan penganut agama lain untuk ajaran mereka.

Ia sebagai mengulas tindakan kerajaan menarik balik rayuan keputusan pada 18 April lalu dengan memfailkan notis pemberhentian rayuan kes itu yang dimohon Jabatan Peguam Negara.

Penghakiman mahkamah tersebut yang merujuk kes itu lebih kepada perihal arahan pentadbiran berhubung rampasan bahan penerbitan semata-mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI