KUALA SELANGOR – Cuaca panas yang melanda negara ketika ini dikatakan membantu meningkatkan pengeluaran hasil pertanian berbanding musim hujan sebelum ini.
Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri berkata, bagaimanapun pemantauan masih dijalankan susulan cuaca panas itu dijangka berpanjangan dalam tempoh beberapa bulan lagi.
“Untuk masa terdekat ini, kita nampak apabila berlaku musim panas hasil pertanian semakin menjadi, berbanding ketika musim hujan yang panjang sebelum ini yang menyebabkan bekalan berkurang.
“Maksud semakin menjadi adalah jika potensinya adalah 100 peratus, ia menghampiri 100 peratus kerana keadaan cuaca yang sesuai berbanding musim hujan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau menambah, harga produk sayuran seperti tomato dan timun yang sebelum ini menurun kembali meningkat susulan pembukaan restoran dan sekolah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Jelas Abdul Rashid, FAMA akan terus membantu petani dengan membeli hasil mereka jika harga pasaran lebih rendah berbanding kos pengeluaran melalui pelaksanaan harga lantai. – KOSMO! ONLINE