KUALA PILAH – Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Senaling di sini hari ini diraikan penuh istimewa apabila semua guru di sekolah itu menerima hadiah berupa bunga pahar dan ‘boko’ (bekas mengandungi dodol) daripada murid-murid serta ibu bapa.
Wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Senaling, Kamarulariffin Abdullah, 50, berkata, idea untuk mengembalikan tradisi menghormati guru itu juga mendapat sokongan daripada semua ibu bapa dan penjaga.
“Memang menjadi hasrat persatuan untuk menghargai peranan guru sempena sambutan pada hari ini. Alhamdulillah, ramai ibu bapa yang hadir memberikan sokongan dan turut bersama menyediakan persiapan untuk majlis ini.
“Seramai 29 orang guru di sekolah ini telah diraikan dengan pemberian bunga pahar dan ‘boko’ iaitu wajik dan dodol, ini sememangnya dapat mengimbau nostalgia dahulu kala,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis tersebut hari ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Kerapatan Adat Luak Ulu Muar, Abdul Khalid Ujang, 60, menjelaskan, lazimnya masyarakat dahulu membawa bunga pahar dan ‘boko’ ini untuk diberikan kepada guru pada hari pertama sambutan Aidilfitri.
“Pada hari pertama Aidilfitri, pelajar akan menziarahi guru mengaji mereka terlebih dahulu dengan membawa bunga pahar dan boko ini.
Konsep ini mengimbau nostalgia dalam adat Melayu yang menyantuni dan menghormati guru mereka, saya harap ia dapat diterus dan diperluaskan lagi,” katanya.
Sementara itu, seorang guru SK Senaling, Fanazariah Mohd. Yusof berkata, penglibatan bersama ibu bapa, guru dan murid-murid memberi kelainan dalam sambutan hari guru di sekolah tersebut pada tahun ini.
“Kami amat gembira dan teruja dengan sambutan berkonsepkan adat Melayu tradisional bersama dengan hadiah yang diberikan kepada kami (guru) pada hari ini. Kami berharap agar tradisi sambutan seperti ini dapat diteruskan,” katanya.- KOSMO! ONLINE