FESYEN dari pelbagai zaman atau era terdahulu masih mempunyai pengikutnya dan jika kena dengan gayanya, ia masih lagi relevan untuk digayakan pada masa kini.
Biarpun baru berusia 23 tahun, seorang pelakon baharu yang kini meningkat naik, Muhamad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin atau lebih dikenali sebagai Amir Ahnaf cukup menggemari gaya fesyen 90-an, yang disifatkan menepati cita rasa fesyennya.
Selain dikenali atas bakat lakonannya, fesyen dan gaya harian anak kelahiran Terengganu itu turut menjadi perhatian ramai.
Seluar potongan longgar ala 90-an dengan gaya rambut zaman itu menjadi gaya signatur Amir, menjadikan dia nampak menyerlah berbanding rakan seusianya yang lain.
Jelas Amir, dia pada mulanya tidak pernah merancang untuk menjadikan gaya 90-an itu sebagai gaya harian, namun menyukainya selepas mula mencuba gaya tersebut.
“Sebenarnya saya ini seorang yang suka mencuba sesuatu gaya itu tidak kiralah gaya klasik atau pun moden.
“Bagi saya, fesyen ini adalah suatu yang subjektif dan ia tidak seharusnya terhad kepada sesuatu zaman, malah ia sebaliknya lebih kepada kesesuaian jiwa dan cita rasa masing-masing,” kata aktor itu yang mencipta populariti menerusi watak ‘Kapla’ dalam drama bersiri Projek: High Council kepada Stailo.
Akui Amir, dia sebelum ini banyak mencuba gaya-gaya lain seperti minimalis ala-ala jejaka Korea, namun selepas beberapa kali mencuba, fesyen 90-an merupakan fesyen paling disukainya.
Elemen fesyen paling disukainya pula adalah penggayaan jaket seperti jaket denim dan juga aksesori lelaki.
“Bagi saya, jaket dan juga aksesori itu bertindak sebagai pelengkap gaya dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.
“Selain dua elemen itu, gaya rambut juga memainkan peranan kerana ada sesetengah jenis rambut tidak sesuai dengan gaya pakaian 90-an,” katanya.
Amir juga amat menggemari potongan rambut jenis mullet yang sesuai dengan bentuk wajahnya dan sesekali, dia akan mengubah angin dengan menggayakan rambutnya dengan gaya slick back.
Kongsi Amir lagi, dia juga merupakan penggemar pakaian dari bundle.
“Saya kerap membeli-belah di kedai pakaian terpakai atau bundle kerana jika pandai ‘menyelam’, anda pastinya akan menjumpai pakaian yang unik atau lain daripada yang lain,” ujarnya.
Malah, dia juga mengakui tidak terlalu memikirkan tentang jenama kerana apa yang penting adalah penterjemahan cita rasa seseorang itu tatkala bergaya dan bagaimana seseorang itu mampu menyuai padankan pakaian dengan aksesori yang dipakai.
Ditanya sama ada dia mahu terus kekal dengan gaya 90-an, Amir berkata dia mahu akan terus mencuba gaya lain yang difikirkan sesuai buatnya.
“Bagi saya, selagi kita tidak mencuba, kita tidak akan pernah tahu sekiranya gaya itu sesuai atau pun tidak dengan personaliti dan juga diri kita.
“Biarpun selesa dengan gaya sekarang, namun saya akan terus mencuba gaya dari era lain atau mungkin cuba menyimpan jambang untuk tampil berbeza,” katanya.