PETALING JAYA – Seorang wanita tidak berpuas hati dan ingin mengambil tindakan perundangan ke atas sebuah rangkaian kedai kopi popular gara-gara nama yang ditulis di cawannya membawa maksud berlainan.
Menerusi hantaran di Facebook Bavitra Ramachandaran, dia memuat naik sebuah gambar memaparkan secawan kopi dengan tulisan ‘babi’ di bahagian hadapan.
Kesalahan itu difahamkan terjadi disebabkan nama singkatannya iaitu Bavi tidak ditulis dengan sempurna, sebaliknya ditulis dengan nama haiwan.
Bagaimanapun, Bavitra berkata, kesalahan itu tidak patut terjadi kerana suaminya telah memberikan ejaan yang betul.
“Saya akan saman syarikat ini. Takkan pekerja Melayu kamu tidak tahu yang tiada nama manusia bermula dengan babi,” katanya.
Sehubungan itu, pelbagai reaksi diberikan pengguna termasuk ada yang menggalakkan wanita itu untuk mengambil tindakan.
“Awak patut ambil tindakan, ini tidak boleh diterima. Jika salah dengar sekalipun, sepatutnya dia boleh tanya semula,” kata Syafiq.
“Ini adalah keterlaluan, takkan tak tahu apa itu babi?” ujar Shubashini.
Dalam pada itu, seorang pengguna dikenali sebagai Tiger JD menyarankan Bavitra untuk memperkenal diri dengan nama penuh.
“Jangan kenalkan diri sebagai Bavi, gunakan nama penuh. Pastikan mereka tulis,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE