KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menambah dua unit dron untuk memantau kegiatan penyeludupan barangan berikutan paras air Sungai Golok semakin cetek ekoran cuaca panas melampau sejak bulan lalu.
Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasa dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, penambahan peralatan itu menjadikan sebanyak empat buah dron digunakan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
Menurutnya, penambahan dron akan dilakukan dari masa ke semasa bagi membolehkan kekerapan pasukan JKDM melakukan pemantauan sepanjang Sungai Golok yang ketika ini melibatkan 60 pegawai dan anggota.
“Kita mengesan kegiatan penyeludupan barangan yang dilakukan oleh penduduk semakin aktif semasa cuaca panas kerana mereka tidak perlu menggunakan bot. Penyeludup hanya memikul barangan mengharungi sungai Golok yang cetek.
“Kita berjaya mengesan beberapa kes yang melibatkan kegiatan penyeludupan pelbagai barangan dengan penggunaan dron,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Bertemu Pelanggan dan Sambutan Aidilfitri di Wisma JKDM di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sazali memberitahu, pihaknya juga mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi penguat kuSa yang lain dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan di Sungai Golok.
Menurutnya, susulan cuaca panas, beberapa pangkalan haram baharu dikesan menjadi laluan penyeludup memunggah barangan larangan seludup. – KOSMO! ONLINE