KUALA TERENGGANU – Cas Ligas Sdn. Bhd (Cas Ligas) yang mengendalikan perkhidmatan Teksi Air Payang berhasrat menambah sebuah lagi bot bernilai RM200,000 pada tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman berkata, penambahan bot itu bagi menampung permintaan tinggi terhadap pakej menyelusuri Sungai Terengganu.
“Secara purata kita menerima kira-kira 1,000 penumpang Teksi Air Payang pada setiap hari dan ia akan meningkat pada cuti umum dan cuti persekolahan.
“Tiga bot sedia ada pada masa ini tidak mencukupi. Sehubungan itu, kita telah menempah sebuah lagi bot yang dijangka tiba pada tahun hadapan,” katanya di sini hari ini.
Wan Adnan berkata, pakej menelusuri muara Sungai Terengganu termasuk bergambar berlatar belakangkan Jambatan Angkat Kuala Terengganu amat popular dalam kalangan pelancong.
Beliau berkata, bot-bot milik Cas Ligas yang merupakan anak syarikat PMINT turut digunakan untuk aktiviti air komersial lain seperti memancing, mencandat sotong dan pakej harian ke pulau peranginan berdekatan.
“Dalam pada itu, kita juga sedang mengkaji untuk meneroka peluang baharu seperti pakej menelusuri Sungai Terengganu hingga ke Kuala Berang, Hulu Terengganu.
“Antara aktiviti yang dicadangkan bagi pakej baharu terbabit ialah melawat artifak dan tempat bersejarah seperti batu bersurat,” katanya. – KOSMO! ONLINE