BARCELONA – Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez percaya kejayaan menjulang gelaran La Liga musim ini adalah permulaan kepada pencapaian yang lebih hebat dalam jangka masa panjang kelab itu.
The Catalans akhirnya sah ditabalkan sebagai juara musim ini menamatkan penantian empat tahun selepas menang 4-2 ke atas seteru setempat, Espanyol di Stadium RCDE awal pagi semalam.
Walaupun berbaki empat perlawanan lagi, tetapi kedudukan Barcelona dengan kelebihan 14 mata sudah tidak mampu dikejar oleh juara bertahan di tempat kedua, Real Madrid.
Bagaimanapun, sambutan itu tidak berakhir dengan gembira kerana para pemain dan barisan kejurulatihan Barcelona terpaksa berlari memasuki terowong selepas penyokong-penyokong Espanyol bertindak menceroboh padang.
“Ia adalah saat yang sangat emosional, saat yang sangat sukar untuk tidak diraikan, selepas beberapa bulan bekerja keras untuk meraihnya.
“Kami tidak meraikannya kerana kami berada di padang Espanyol. Saya memberitahu pemain untuk masuk kerana saya fikir itu sudah cukup.
“Sambutan itu biasa, tetapi saya tahu kami tidak berada di tempat sendiri dan kami perlu menghormati perkara itu,” kata Xavi.
Gol-gol Barcelona dalam perlawanan itu diperoleh menerusi dua jaringan Robert Lewandowski dan masing-masing satu daripada Alejandro Balde serta Jules Kounde. – AGENSI