RIYADH – Sektor pelancongan Arab Saudi mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada suku pertama tahun ini, dipacu oleh kemasukan lebih enam juta jemaah yang mengerjakan umrah sepanjang tempoh tersebut, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.
Menteri Pelancongan, Ahmed Al-Khateeb berkata, rekod tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini apabila ia mencatatkan sejarah dari segi bilangan pelawat dan jumlah perbelanjaan pelancongan.
“Lebih enam juta jemaah telah menunaikan umrah pada musim semasa manakala peratusan pelancong yang datang untuk tujuan hiburan dan percutian meningkat 581 peratus pada suku pertama 2023 berbanding tempoh sama pada 2019 (sebelum pandemik).
“Ia didorong oleh prosedur visa elektronik yang dipermudahkan serta pertumbuhan luar biasa dalam kemudahan dan perkhidmatan di destinasi-destinasi pelancongan,” katanya.
Tambah Ahmed, selain jumlah jemaah yang melebihi enam juta orang dari dalam dan luar Arab Saudi, kadar tempahan dalam sektor hospitaliti di Mekah dan Madinah turut merekodkan angka luar biasa.
“Semua sektor telah melengkapkan persiapan mereka untuk musim pelancongan yang kukuh dan menarik. Lebih 600 juta riyal (RM713.94 juta) telah diperuntukkan untuk memperkenalkan destinasi pelancongan yang menarik di seluruh negara,” katanya.
Tambah Ahmed, kadar pertumbuhan jumlah perbelanjaan pelancongan domestik sepanjang suku pertama tahun ini mencecah 45 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Ini disokong oleh permulaan kukuh bagi pelancongan dan pencapaian tertinggi bagi jumlah kemasukan pelancong asing sepanjang suku tersebut untuk semua tujuan, yang dianggarkan seramai 7.8 juta orang. Kadar pertumbuhannya adalah 64 peratus berbanding suku pertama 2019.
“Kemajuan luar biasa dalam prosedur di samping promosi pelancongan di negara sasaran dan peningkatan permintaan untuk visa umrah telah menyumbang kepada pencapaian ini,” kata Ahmed.
Jelas beliau, kadar kedatangan pelancong dari negara Teluk dan negara Asia Barat mencatatkan pertumbuhan sebanyak 107 peratus berbanding 2019.
Bagi pelancong dari Asia, khususnya Indonesia dan Malaysia, ia mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 49 peratus. Mereka yang datang dari Eropah terutamanya Turkiye, Perancis, Russia, Itali dan Jerman pula, kadar pertumbuhan mencecah 50 peratus.
Sementara itu, dari segi bandar pilihan pelancong, Ahmed berkata, Mekah menduduki tempat teratas dalam kalangan destinasi pelancongan di Arab Saudi iaitu seramai 4.4 juta pelancong.
Riyadh pula menduduki tempat kedua berikutan peningkatan warga asing yang datang menggunakan visa pelancong selain mereka yang datang untuk melawat keluarga dan rakan-rakan.
Selain itu, terdapat pertumbuhan ketara sehingga mencecah 247 peratus dalam aliran masuk pelancong ke Jeddah bagi tujuan hiburan dan melawat keluarga serta rakan-rakan pada suku pertama 2023. – AGENSI